PELANCARAN BULAN ZAKAT DAN IJTIMA’ AMIL ZAKAT KEBANGSAAN 2011



Kuala Lumpur – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) telah mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Zakat dan Ijtima’ Amil Zakat Kebangsaan 2011 bertempat di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis pelancaran sambutan Bulan Zakat dan Ijtima’ Amil Kebangsaan 2011 ini telah dirasmikan oleh YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan tema “Zakat Pemangkin Tamadun Ummah”.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kewajipan dan kepentingan berzakat serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat di negara ini. Perhimpunan julung kali amil dari seluruh negara ini melibatkan penyertaan seramai hampir 800 orang amil di seluruh negara.

Majlis ini juga dimeriahkan lagi dengan pameran barangan keluaran usahawan asnaf terpilih dari Kuala Lumpur, Selangor, dan Pulau Pinang. Pelbagai jenis produk usahawan telah dipamer dan dijualkan kepada peserta Ijtima’ dan majlis perasmian.

Leave a Reply