PELAJAR CEMERLANG TERIMA TERIMA BIASISWA GALAKAN MAIS



Tarikh : 2/2/2009
Penulis : zool; Gambar: Bahrin (JAIS)

Shah Alam – Seramai 2,163 orang pelajar cemerlang tahun 2008 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) negeri Selangor dan Maahad Integrasi Tahfiz Istana Banda (MITIB), Jugra menerima biasiswa galakan MAIS pada 23 Januari di sini.

Bisiswa yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM 778,680.00 itu dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan diagihkan kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Menengah Agama (SMA).

Turut menerima biasiswa galakan itu ialah mereka yang cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Biasiswa galakan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), SS Dato’ Haji Mohammed Khusrin Haji Munawi.

Dalam ucapannya beliau menegaskan, biasiswa tersebut merupakan insentif yang diberikan kepada pelajar cemerlang dalam bidang akademik di sekolah agama negeri Selangor.

Menurut beliau lagi, biasiswa galakan ini telah diwujudkan sejak 2003 dan setiap pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki akan menerima biasiswa sebanyak RM 360.00 setahun.

Bagi tahun 2008, Sekolah Agama Menengah BESTARI, USJ 5, Subang Jaya menerima jumlah terbanyak iaitu sebanyak RM 150,480.00 yang melibatkan 418 orang pelajar, diikuti Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin, Kg. Jawa, Klang sebanyak RM 111,240.00 (309 orang) dan Sekolah Agama Menengah Batu 10, Hulu Langat – RM 59,040.00 (164 orang).