PANGSAPURI BARAKAH: USAHA LZS (MAIS) TANGANI KEMISKINAN BANDAR



Puchong – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyerahkan 20 unit rumah yang dikenali sebagai Pangsapuri Barakah kepada 20 keluarga yang merupakan asnaf fakir dan miskin dalam usaha menangani kemiskinan kawasan bandar dalam satu majlis di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6 pada 1 Julai.

Pengurus Besar LZS (MAIS) memberitahu, Pangsapuri Barakah merupakan rumah yang dibeli oleh LZS (MAIS) untuk menampung keperluan fakir dan miskin yang tidak mempunyai rumah di kawasan bandar.

“Memandangkan di kawasan bandar harga tanah terlalu tinggi, maka sebagai alternatif LZS (MAIS) membeli rumah-rumah kos rendah untuk dijadikan penempatan asnaf ini,” jelas beliau.

Menurut Ahmad Shahir, Setiap satu unit rumah berharga RM42,000.00 lengkap dengan kemudahan bekalan elektrik dan air. Rumah itu juga dilengkapi dengan alatan elektrik seperti kipas angin serta perabot asas seperti dapur, katil, meja makan dan hiasan dalaman yang bernilai RM5,000.00.

“Keseluruhan LZS (MAIS) membelanjakan RM940,000 untuk rumah di Pangsapuri Enggang ini sahaja dan mereka akan dibenarkan tinggal di sini maksimum sehingga dua tahun dan boleh dilanjutkan atas budi bicara pihak LZS (MAIS),” jelas beliau lagi.

Menurut Ahmad Shahir lagi, di seluruh negeri Selangor terdapat tujuh pangsapuri yang meliputi 80 unit rumah pelbagai lokasi yang dijadikan Pangsapuri Barakah. Walau bagaimanapun, setakat ini hanya 36 keluarga sahaja yang mendiami unit-unit tersebut.

Di dalam majlis itu juga, seramai empat orang asnaf telah menerima bantuan modal perniagaan bernilai RM23,000.00, iaitu Zauwiyah Ku Muda (RM5,000.00), Rosiah Mat Noor (RM5,000.00), Wan Zarina Wan Isa (RM10,000.00) dan Rosman Buyong Mustaffa (RM3,000.00).

Majlis penyerahan kunci dan bantuan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Dato’ Dr. Hj. Mohamad Satim Diman.

Sementara itu salah seorang penerima kunci rumah, Jamilah Ariffin, 47, sangat terharu dengan penerimaan kediaman sementaranya daripada LZS (MAIS). “Dengan ini saya dapat tinggal dengan selesa tanpa memikirkan lagi bagaimana hendak mencari duit untuk membayar sewa rumah.”

“Sebelum ini saya terpaksa menyewa RM350 di Taman Sri Puchong dan ia amat membebankan kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap kerana terpaksa berhenti kerja apabila kilang tempat saya bekerja ditutup,” jelas beliau dengan nada terharu.

Beliau yang juga berkerusi roda akibat kemalangan 30 tahun dulu berharap LZS (MAIS) terus komited di dalam membantu golongan yang susah dan senasib dengannya.