OZ 13: LZS GIATKAN AKTIVITI DAKWAH ZAKAT



KLANG, 26 Jun 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menggiatkan lagi aktiviti dakwah dengan mengadakan Operasi Zakat di Hati 2013 (OZ 13) di daerah Klangbertujuan menyebarluaskan dakwah zakat kepada masyarakat baru-baru ini.

Program sehari ini dimulakan dengan taklimat ringkas sebelum pecahan kumpulan dibuat untuk aktiviti seterusnya. Kumpulan pertama telah dibawa melawat Pangkalan Polis Marin, Pulau Indah. Lawatan ini turut disertai Ketua Pegawai Pemerintah, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said. Di sini, para peserta bertukar-tukar maklumat berkaitan organisasi di samping dapat menyampaikan maklumat terkini berkaitan zakat di Selangor.

Sementara itu kumpulan kedua terbabit dengan aktiviti Tour To Agencies membabitkan lawatan ke Bank Islam. Manakala kumpulan ketiga terlibat dengan Ops Premis di sekitar bandar Klang melibatkan edaran risalah zakat kepada para peniaga.

Program diteruskan pada sebelah petang dengan aktiviti gotong-royong di kawasan perkuburan Islam di Meru. Ia mendapat kerjasama daripada penduduk setempat. LZS turut menyumbangkan 200 anak pokok bunga untuk ditanam di kawasan perkuburan.

Turut sama menyertai OZ 13, Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non.