OPS JEJAK KEMISKINAN KINI DI HULU SELANGOR



HULU SELANGOR, 23 April 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan Operasi Jejak Kemiskinan di Apartmen Kenanga, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di Hulu Selangor baru-baru ini. Operasi berkenaan adalah lanjutan daripada program jejak kemiskinan yang telah dimulakan oleh LZS sejak tahun 2011. Ia bermatlamat mengenal pasti golongan rakyat miskin yang sebelum ini masih belum berdaftar dengan LZS. Majlis telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Dalam operasi kali ini, LZS telah menembusi hampir 200 buah rumah dan seramai 67 orang telah dikenal pasti layak dikategorikan sebagai asnaf miskin. Mereka ini layak menerima bantuan berdasarkan keperluan, sama ada bantuan makanan bulanan, bantuan kewangan bulanan, bantuan pendidikan dan sebagainya. LZS juga akan meneruskan operasi menjejak kemiskinan ini ke kawasan-kawasan lain di sekitar Hulu Selangor selepas ini.

Dalam ucapannya, Nor Hisham berharap semoga program ini mendapat kerjasama daripada semua pihak demi menangani isu-isu rakyat termiskin di Hulu Selangor.

“Semua pihak termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), jawatankuasa penduduk, jawatankuasa surau serta masjid berperanan dalam membantu golongan miskin. Inisiatif LZS menjejaki golongan tersebut wajar mendapat sokongan semua pihak.” Ujar beliau seterusnya.

Turut hadir dalam program ini ialah Eksekutif Kanan Sektor Pengurusan Daerah LZS, Mustafa Selamat; Ketua Operasi Daerah LZS (Hulu Selangor), Azhar Yahya Arif dan Pengerusi KRT Apartmen Kenanga, Mohd Razaly Abdullah.