OPS DIDIK EDAR 10 RIBU RISALAH



Gombak – Wilayah Timur Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menganjurkan Ops Didik dengan mengedarkan sejumlah 10 ribu naskah risalah zakat kepada semua sekolah rendah kebangsaan (S.R.K) di daerah Gombak dan sekolah-sekolah terpilih di daerah Hulu Selangor bermula dari 17 September ini.

Setiap sekolah akan dibekalkan sejumlah 100 hingga 200 risalah zakat untuk disampaikan kepada ibu bapa dan penjaga masing-masing melalui murid-murid tahun empat, lima dan enam. Sebanyak 78 buah sekolah rendah akan terlibat di dalam operasi ini.

Selain itu, semua S.R.K dan S.M.K di daerah Gombak dan Hulu Selangor turut akan menerima poster dan pelekat kereta zakat untuk ditampal di papan kenyataan dan surau sekolah masing-masing.

Menurut Pengarah Ops Didik, AbuZar Zainuddin, Ops Didik merupakan kerjasama antara LZS (MAIS) dan Pejabat Pelajaran Daerah Gombak dan Hulu Selangor. Matlamat utama operasi ini adalah untuk memperhebatkan lagi kempen Jom Tunai Zakat kepada umat Islam terutamanya dengan kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak.

Sementara itu, satu majlis ringkas pelancaran Ops Didik telah berlangsung di PPD Gombak pada 27 Ogos dengan dihadiri Ketua Operasi Wilayah Timur, Muhammad Rizal Shah Harudin dan Pegawai Pelajaran Daerah Gombak, Puan Siti Norma manakala majlis sama turut diadakan di PPD Hulu Selangor pada 12 September baru-baru ini.