NASIB AIZALINA DAN ANAK-ANAK MENDAPAT PERHATIAN LZS



SHAH ALAM, 15 Julai 2014 – Berikut maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di Harian Metro bertajuk ‘6 Beranak Dalam Kabin’ pada 12 Julai 2014.

Menurut laporan akhbar berkenaan, Aizalina Ahmad beserta lima anak dan bapanya terpaksa hidup berpindah randah dan akhirnya menetap di sebuah kabin setelah dihalau oleh bekas suaminya, seorang warga Indonesia.

Daripada rekod LZS mendapati Aizalina sebelum ini merupakan asnaf fakir di daerah Kuala Langat. Bantuan zakat telah disalurkan kepada beliau dan anak-anak bermula dari tahun 2008 hingga Jun 2013. Antara bantuan zakat yang telah diterima termasuklah bantuan Ramadan dan Hari Raya sebanyak RM1,000, bantuan kewangan bulanan sebanyak RM550, bantuan pendidikan untuk anak-anak dan bantuan bina rumah pada tahun 2008.

Berikutan masalah rumah tangga yang dihadapi, beliau beserta lima anak dan bapa telah dihalau keluar dari rumahnya sendiri oleh bekas suami. Sejak hari itu, beliau gagal dikesan oleh LZS hingga menyebabkan bantuan zakat terpaksa dihentikan pada bulan Jun 2013.

Hasil siasatan LZS mendapati setelah dihalau keluar dari rumah, Aizalina beserta lima orang anak dan bapanya menumpang di rumah seorang kenalan di daerah Sepang. Bagaimanapun, mereka sekali lagi diusir keluar dan kemudian menetap di sebuah kabin hinggalah ditemui baru-baru ini. Mereka kemudiannya dipindahkan oleh penduduk dan pemimpin masyarakat ke sebuah unit rumah kosong di Desa Mansuriah, Sepang untuk sementara waktu sehingga mendapat sebuah rumah yang sesuai.

Berikutan itu, LZS turut segera membuat bancian dan mendaftarkan semula Aizalina sebagai asnaf fakir di daerah Sepang. Untuk permulaan, bantuan kecemasan disalurkan sebanyak RM500 bagi meringankan beban beliau. Bantuan lain juga akan disalurkan iaitu bantuan Ramadan dan Hari Raya sebanyak RM950, bantuan kewangan bulanan sebanyak RM600, bantuan pendidikan untuk anak-anak dan bantuan sewa rumah.

Sehubungan dengan itu, keluarga ini  akan terus dipantau oleh LZS dari semasa ke semasa dan bantuan zakat akan disalurkan mengikut keperluan mereka.