MMU METERAI PERJANJIAN SEBAGAI EJEN KUTIPAN ZAKAT LZS



CYBERJAYA, 27 April 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS hari ini memeterai perjanjian persetujuan pelantikan Universiti Multimedia (MMU) sebagai ejen kutipan zakat bagi Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Pemeteraian perjanjian ini telah disempurnakan oleh Haji Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS dengan Prof. Madya Dr. Muhamad Rasat Muhamad, Presiden MMU.  Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Canselor MMU turut hadir menyaksikan majlis yang bersejarah ini.

Pelantikan MMU sebagai ejen kutipan IPTS merupakan institusi kedua. Sebelum ini, LZS telah melantik Universiti Tenaga Nasional (Uniten) sebagai ejen kutipan IPTS yang pertama di Selangor.

Dengan perlantikan MMU, jumlah ejen kutipan IPT di Selangor telah bertambah kepada enam buah. Selain MMU dan Uniten, ejen kutipan IPT adalah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putera Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

LZS berharap dengan pelantikan ini, MMU menerusi Tabung Amanah Zakat MMU (TAZMMU) dapat memanfaatkan potensi dalaman MMU bagi meningkatkan kutipan zakat. Warga MMU juga berpeluang memperolehi bantuan zakat secara terus daripada TAZMMU, memandangkan LZS memberikan 1/3 daripada jumlah kutipan zakat MMU untuk diagihkan kembali kepada mereka yang layak.

Turut hadir, Dato’ Dr. Salim Shafie, Pengerusi Telekom Malaysia dan MMU dan Hajjah Adibah Abdul Wahab, Timbalan Pengurus Besar Pejabat Kutipan LZS.