MEMPERKASAKAN KUTIPAN & AGIHAN ZAKAT DI MALAYSIA: LZS ANJUR MUZAKARAH ZAKAT KEBANGSAAN 2017



SHAH ALAM, 8 Ogos 2017 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini menganjurkan program Muzakarah Zakat Kebangsaan 2017 yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali di sini.

Dengan tema Memperkasakan Kutipan dan Agihan Zakat di Malaysia, muzakarah kali ini menghimpunkan perwakilan daripada pelbagai sektor, khususnya yang bersangkutan dengan pengurusan zakat di Malaysia, ahli akademik terutama pakar dalam bidang zakat termasuk orang perseorangan.

Ia diadakan bertujuan mengupas isu-isu serta cabaran terkini dalam pemerkasaan kutipan dan agihan zakat di Malaysia, di samping membincangkan hukum hakam yang berkaitan secara langsung serta mencari mekanisme terbaik dalam meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kewajipan berzakat sekali gus membantu golongan asnaf yang memerlukan.

Sebanyak 33 kertas kerja dibentangkan sepanjang dua hari muzakarah berlangsung bermula hari ini. Antara pembentang kertas kerja termasuklah Timbalan Mufti Negeri Selangor, Dr. Anhar Opir, Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) USIM, Profesor Madya Dr. Irwan Mohd Subri, Profesor Madya Dato’ Mohd Mokhtar Shafii, ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Aznan Hassan.

Hadir sama dalam majlis, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jaafar Ismail.