MANGSA BANJIR TERIMA BANTUAN ZAKAT LZS



Tarikh : 10/17/2008
Penulis : CT Norkhayati Rabani; Gambar: Ihsan Sinar Harian

Batu 8, Gombak – Seramai 35 mangsa banjir dari Batu 9 Kampung Gombak Utara dan Kampung Sungai Chinchin telah menerima bantuan awal dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Ali akibat banjir yang berlaku di kawasan mereka baru-baru ini.

Bantuan disampaikan kepada sebahagian daripada mangsa sahaja kerana jumlah keseluruhan mangsa masih belum dapat diperolehi sepenuhnya.

Bagi penerima sumbangan Anuar Othman dari Kampung Sungai Chinchin berkata, ini pertama kali rumahnya dinaiki air dan berterima kasih kepada LZS yang memberikan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat. Sumbangan yang diterima dapat meringankan beban beliau sekeluarga.

Manakala Zainab Ismail pula berkata, “ sumbangan yang diterima dapat meringankan beban dia sekeluarga yang terpaksa mengalami kerugian akibat banjir yang berlaku.

Sementara itu, LZS juga turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM300 kepada keluarga mangsa Zadain Zainal, 41 yang dipercayai hilang ketika sedang mandi apabila bilik airnya runtuh akibat dilanggar kayu balak sehingga dia terjatuh ke dalam sungai lalu dibawa arus deras.