MAKLUM BALAS ZAKAT SELANGOR BERKENAAN KELUARGA MOHD RASUL



 

SHAH ALAM, 13 September 2017 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor berkenaan keluarga Mohd Rasul Mohamad seperti yang tersiar di Sinar Harian bertajuk ‘Tinggal Dalam Stor Tayar’.

Berdasarkan kepada maklumat yang disalurkan, Zakat Selangor telah segera menziarahi keluarga tersebut. Hasil siasatan yang dijalankan, mendapati keluarga ini kehilangan sumber pendapatan setelah Mohd Rasul diberhentikan kerja pada Ogos lepas dan kini hanya bergantung kepada pendapatan isterinya, Jamilah Ibrahim yang bekerja di sebuah kilang.

Daripada semakan rekod Zakat Selangor, keluarga Mohd Rasul merupakan asnaf miskin yang berdaftar dengan Zakat Selangor sejak Februari 2017. Antara bantuan yang telah diterima adalah bantuan Hari Raya dan bermula September baru-baru ini, Zakat Selangor telah menyantuni keluarga ini dengan bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500.

Zakat Selangor amat prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh keluarga Mohd Rasul. Sehubungan itu, Zakat Selangor akan membantu Mohd Rasul menjelaskan tunggakan sewa rumahnya. Walau bagaimanapun, bagi memastikan keselesaan keluarga tersebut, Zakat Selangor mencadangkan agar keluarga ini ditempatkan di kediaman lebih sempurna yang dibiayai sepenuhnya oleh Zakat Selangor.

Sementara itu, anak-anak Mohd Rasul akan turut disantuni dengan bantuan pengangkutan bagi memudahkan mereka berulang-alik ke sekolah, di samping bantuan yuran dan kelengkapan pendidikan bagi sesi persekolahan akan datang. Manakala bantuan lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan dan syarat kelayakan.

LZS berharap dengan bantuan zakat yang akan disalurkan ini dapat membantu meringankan bebanan keluarga Mohd Rasul.