MAKLUM BALAS VIRAL BERITA ‘LEMBAGA ZAKAT SELANGOR TOLONGLAH SAYA’



SHAH ALAM, 13 April 2016 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di Sinar TV bertajuk Lembaga Zakat Selangor, Tolonglah Saya…”

Menurut berita berkenaan seorang warga emas, Maridan Udin, 62 tahun yang lumpuh sebelah badan selepas diserang angin ahmar empat tahun lalu dan mengharapkan ihsan daripada jiran. Beliau hidup sebatang kara selepas berpisah dengan isteri dan tiga orang anaknya. Maridan mendakwa permohonan beliau tidak mendapat perhatian LZS.

rsz_2befunky_collage latest

Hakikatnya, permohonan Maridan dalam pemerhatian LZS dan maklum balas telah diberi kepada wartawan Sinar Harian pada 12 April 2016 seperti mana yang terbitkan dalam akhbar tersebut pada 13 April 2016 bertajuk ‘Hidup Mengharapkan Ihsan Jiran’.

Untuk makluman, LZS telah menziarahi Maridan pada bulan Mac 2016 dan turut menyerahkan bantuan kecemasan. Beliau mendakwa sebelum ini telah menyerahkan borang permohonan kepada LZS, namun setelah disemak borang tersebut adalah borang bancian bagi tujuan permohonan menjadi asnaf fakir dan miskin di Selangor. Hasil semakan melalui borang yang diterima, Maridan layak didaftarkan sebagai asnaf fakir pada awal bulan April 2016.

Sebagai asnaf fakir, Maridan layak menerima bantuan Hari Raya dan pendidikan sekiranya beliau mempunyai tanggungan yang bersekolah. Manakala bantuan kewangan dan makanan bulanan, tunggakan sewa rumah dan bantuan lain akan disalurkan mengikut keperluan asnaf tersebut.

Untuk makluman pemohon yang telah mengisi borang bancian, akan disahkan kelayakan sebagai asnaf fakir dan miskin berdasarkan kepada haddul kifayah (garisan kecukupan). Setelah ditentukan kelayakan, barulah bantuan zakat akan disalurkan mengikut kesesuaian keluarga asnaf.