MAKLUM BALAS LZS BERKENAAN VIRAL BANTUAN UMUM PELAJARAN



SHAH ALAM, 11 Januari 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan maklumat berkenaan bantuan RM400 yang diberikan kepada ibu bapa mempunyai tiga anak bersekolah pada tahun ini, seperti yang tersebar dan menjadi viral melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook sejak awal Januari.

Untuk makluman selain bantuan pendidikan kepada asnaf fakir dan miskin, LZS menyediakan bantuan umum pelajaran (BUP) di bawah asnaf fisabilillah. Permohonan bantuan tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.

Ia merupakan sumbangan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara serta ibu bapa atau penjaga yang membiayai persekolahan anak-anak mereka setiap tahun. Permohonan adalah tertakluk kepada garis panduan dan syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

viral wasap

Pemohon boleh memohon bantuan tersebut pada bulan Januari hingga Mac bagi pelajar pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pelajar IPT. Manakala permohonan pada bulan Julai hingga September hanya dibuka bagi pelajar IPT sahaja. Walau bagaimanapun, permohonan BUP bagi pelajar tahun pertama di IPT dibuka sepanjang tahun. Pemohon hanya boleh memohon sekali dalam tempoh setahun.

Sehubungan dengan itu, LZS memohon semua pihak agar tidak terus menyebarkan maklumat yang diviralkan. Sebarang kenyataan rasmi LZS dikeluarkan melalui laman web www.zakatselangor.com.my atau facebook LembagaZakatSelangor.MAIS. Pertanyaan dan maklumat lanjut hubungi Talian Zakat Selangor 1-800-88-5353.