MAKLUM BALAS LZS BERKENAAN BANTUAN RUMAH ORANG ASLI



SHAH ALAM, 2 Disember 2015 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita yang tersiar di akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Disember 2015. Menurut berita berkenaan, Orang Asli mualaf di Kampung Orang Asli Gurney mendakwa permohonan untuk membina rumah tidak mendapat perhatian sewajarnya dari LZS.

Sehubungan itu, LZS telah mengambil tindakan segera menghantar pegawai menemui dua Orang Asli yang terlibat pada hari yang sama bagi menjalankan siasatan.

Hasilnya didapati bahawa keluarga Dona Hakimi Abdullah, 41 tahun dan Zaki Mohd Rafi, 32 tahun telah disantuni sebagai asnaf fakir dan miskin di LZS sejak tahun 2012.

Antara bantuan zakat yang telah diterima oleh Dona ialah bantuan Hari Raya dan bantuan pendidikan.

Scan 122

Berkaitan dengan kenyataan beliau tentang permohonan bantuan yang tidak diberi respon sejak 2007, dimaklumkan bahawa daripada rekod LZS mendapati Dona telah menghantar borang permohonan tersebut pada bulan November lalu. Namun, setelah semakan borang permohonan dilakukan didapati borang tersebut tidak lengkap. Beliau tidak menyertakan dokumen berkaitan tapak tanah untuk pembinaan rumah dan hal ini telah dimaklumkan kepada beliau sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, LZS telah mendapatkan kerjasama daripada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk membantu beliau menyelesaikan urusan tapak tanah tersebut.

Manakala berhubung permohonan Zaki, semakan LZS mendapati beliau tidak pernah membuat sebarang permohonan bantuan pembinaan rumah sebelum ini.

Untuk makluman, beliau kini menetap di rumah tinggalan bapanya yang telah dibina oleh LZS 10 tahun yang lalu. Daripada rekod LZS juga mendapati, beliau telah menerima bantuan dari LZS antaranya bantuan Hari Raya. Sehubungan dengan itu, LZS akan mempertimbangkan bantuan baik pulih rumah dan bantuan lain mengikut keperluan.

Untuk makluman di Selangor, seseorang itu adalah asnaf mualaf sekiranya tempoh keislamannya masih di bawah lima tahun dan diuruskan oleh Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mualaf, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Selepas tempoh tersebut, sekiranya seseorang itu masih memerlukan bantuan zakat, mereka boleh memohon bantuan di bawah asnaf lain terutamanya asnaf fakir dan miskin.

Sekian, terima kasih.

NORAJUN AINUN MOHD HASHIM

Pengurus Besar Komunikasi KorporatScan 122