MAKLUM BALAS LZS BERKAITAN ENAM PELAJAR TAHFIZ DARUL QURAN MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN WA ULUMUDDIN



SHAH ALAM, 3 Jun 2014 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita enam pelajar tahfiz yang tersiar di akhbar Sinar Harian dan Berita Harian.

Untuk makluman, LZS menyediakan bantuan dermasiswa hufaz quran khusus kepada pelajar maahad tahfiz bertujuan untuk menggalakkan para pelajar menghafaz al-Quran. Mereka akan menerima bantuan sebanyak RM150 sebulan bagi pelajar di bawah asnaf fisabilillah dan RM180 sebulan untuk pelajar di bawah asnaf fakir dan miskin.

Sehubungan dengan itu, pengurusan tuntutan bayaran bantuan dermasiswa hufaz quran adalah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di mana pihak maahad tahfiz perlu menyertakan laporan kemajuan prestasi hafazan para pelajar kepada JAIS sebelum pembayaran dibuat melalui LZS. Sehingga kini terdapat 44 buah maahad tahfiz di seluruh Selangor dengan jumlah pelajar seramai 971 orang yang mendapat bantuan dermasiswa hufaz quran.

Berkenaan aduan pelajar tahfiz bernama Musa Badharul Zaman, 15 tahun bersama tiga orang adiknya, didapati mereka merupakan anak asnaf fakir yang berdaftar dengan LZS. Oleh yang demikian, mereka layak mendapat bantuan dermasiswa hufaz quran pada kadar RM180 seperti yang diperuntukan untuk pelajar asnaf fakir dan miskin dengan syarat, tuntutan bantuan tersebut hendaklah dibuat oleh pihak maahad tahfiz kepada pihak JAIS.

Bagaimanapun, hasil semakan dengan pihak JAIS mendapati maahad tahfiz berkenaan yang merupakan sebuah maahad tahfiz swasta tidak pernah membuat sebarang tuntutan bantuan bagi keempat-empat pelajar tersebut.

Manakala bagi dua orang pelajar yang bukan asnaf, mereka boleh membuat permohonan bantuan tersebut melalui pihak maahad tahfiz dengan menyertakan laporan kemajuan prestasi seperti mana yang ditetapkan oleh JAIS. Pihak JAIS akan meneliti permohonan tersebut berdasarkan kelayakan, dan bantuan disalurkan oleh LZS menggunakan peruntukan asnaf fisabilillah.