MAKLUM BALAS BERKENAAN BERITA ‘DEMI BERI KELUARGA SESUAP NASI’



SHAH ALAM, 2 Jun 2015 – Berikut maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di Harian Metro bertajuk Demi Beri Keluarga Sesuap Nasi.

Berdasarkan kepada rekod LZS didapati keluarga Norzulaini Mat Ali, 42 tahun tidak pernah memohon bantuan zakat sebelum ini. Beliau yang pernah bekerja sebagai jurubahasa Mahkamah Perusahaan terpaksa berhenti kerja sejak setahun lalu akibat masalah saraf bahagian tulang belakang selepas mengalami tekanan kerja.

Kesusahan yang dihadapi oleh keluarga ini telah mendapat perhatian dari LZS. Hasil siasatan, keluarga ini telah didaftarkan sebagai asnaf fakir di LZS. Untuk permulaan, LZS telah menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak RM500. Manakala bantuan kewangan dan makanan bulanan serta sewa bulanan turut akan disalurkan bagi meringankan beban keluarga ini bermula Jun ini.

Sementara itu, LZS turut akan membantu melunaskan tunggakan sewa rumah dan bil utiliti keluarga tersebut. Manakala bantuan pendidikan akan disalurkan bagi membolehkan kedua-dua anaknya menyambung kembali persekolahan.