MAKLUM BALAS BERKENAAN BERITA  ‘BANTUAN: MUALAF PILIH FB, SERIK BIROKRASI AGENSI KERAJAAN’



SHAH ALAM, 2 November 2015 – Berikut maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di portal MStar bertajuk ‘Bantuan: Mualaf Pilih FB, Serik Birokrasi Agensi Kerajaan’.

Hasil semakan didapati tidak ada rekod pemohon bantuan zakat atas nama Alwi Chan Abdullah di LZS. Bagaimanapun siasatan LZS mendapati, Alwi Chan merupakan asnaf yang berdaftar di Baitulmal MAIWP dan telah disantuni melalui bantuan zakat oleh institusi berkenaan sejak bulan Jun 2015.

mualaf

Berhubung dengan aduan yang tersiar di MStar, difahamkan bahawa keluarga Alwi baru sahaja menetap di Selayang, Selangor. Sehubungan dengan itu, pihak LZS bersedia untuk menyantuni keluarga ini bergantung kepada keperluan dan syarat kelayakan yang telah ditetapkan, sekiranya beliau memohon bantuan zakat di LZS. Namun begitu difahamkan seseorang asnaf itu akan dikeluarkan daripada senarai penerima di Baitulmal MAIWP, jika penerima tidak lagi menetap di Wilayah Persekutuan.

Sekian, terima kasih.

NORAJUN AINUN MOHD. HASHIM

Pengurus Besar Komunikasi Korporat