MAKLUM BALAS AKHBAR: BANTUAN DIALISIS TERHENTI KERANA TIADA MAKLUMAN PERTUKARAN PUSAT RAWATAN



Tarikh : 10/26/2010
Penulis : editor

Shah Alam, 26 Oktober 2010 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada tarikh 22 Oktober 2010 bertajuk ‘Malang bertimpa pesakit kronik’.

Melalui hasil semakan mendapati, Ismail Osman, 49 merupakan asnaf di LZS sejak tahun 2004 lagi. Beliau menerima pelbagai jenis bantuan, iaitu bantuan Hari Raya, bantuan persekolahan anak-anak, bantuan kewangan bulanan dan juga bantuan perubatan dialisis.

Walaubagaimanapun, bantuan rawatan dialisis Ismail Osman telah terhenti kerana beliau telah membuat pertukaran pusat rawatan tanpa memaklumkan kepada pihak LZS.

Pihak LZS sebenarnya telah mengunjungi keluarga Osman sebelum berita ini disiarkan lagi. Hasilnya, pegawai Agihan Zakat LZS telah membantu beliau membuat permohonan baru bagi membolehkan bantuan rawatan dialisisnya disambung semula.

Selain bantuan rawatan dialisis, LZS juga mempertimbangkan bantuan tambang pergi balik ke hospital dan membantu membiayai tunggakan sewa rumah beliau.

LZS berharap, dengan bantuan ini akan dapat meringankan bebanan yang beliau tanggung. LZS juga berharap kepada masyarakat yang mempunyai persoalan berkaitan agihan zakat dapat datang ke cawangan zakat berhampiran untuk mendapatkan penjelasan lanjut.