MAKLUM BALAS ADIK NUR SYIFA ZARA



DAMANSARA, 5 Februari 2018 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor berkenaan adik Nur Syifa Zara binti Abdul Rahim seperti yang tular di media sosial oleh Prinz Firusi sejak 4 Februari 2018.
 
Berdasarkan kepada maklumat disalurkan, Zakat Selangor segera menziarahi keluarga tersebut pada 5 Februari 2018. Hasil siasatan, mendapati adik Nur Syifa berusia empat tahun disahkan penyakit Severe Aplastic Anemia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan penghidap tidak mampu menghasilkan sel darah merah, platelet dan darah putih secara normal. 
 
Daripada semakan rekod Zakat Selangor, adik Nur Syifa telah disantuni dengan bantuan hutang perubatan berjumlah RM3,000 di bawah nama bapanya Mohammad Zamri bin Khalid. Bantuan ini merupakan bantuan asnaf gharimin yang disalurkan pada tahun 2017. 
 
Zakat Selangor amat prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh keluarga Mohammad Zamri. Sehubungan itu, Zakat Selangor akan membantu membiayai kos rawatan perubatan bulanan yang dianggarkan berjumlah RM300 sehingga RM400 sebulan. Bantuan perubatan ini memerlukan keluarga Mohammad Zamri untuk memohon semula pada tahun 2018 kerana beliau bukan tergolong dalam keluarga asnaf fakir dan miskin. Manakala bantuan lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan dan syarat kelayakan.
 
Zakat Selangor berharap dengan bantuan zakat yang akan disalurkan ini dapat membantu meringankan bebanan keluarga Mohammad Zamri.