MAJLIS MESRA MAJIKAN ERAT HUBUNGAN LZS (MAIS) DENGAN WARGA AGENSI KERAJAAN



Shah Alam – Bagi memastikan hubungan Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dengan warga agensi kerajaan berjalan lancar, LZS (MAIS) telah mengadakan Majlis Mesra Majikan Agensi Kerajaan Negeri Selangor pada 16 Februari di sini.

Program setengah hari itu telah dihadiri seramai 200 orang peserta daripada 108 organisasi yang terdiri daripada pegawai di bahagian gaji bertujuan melihat prestasi di jabatan masing-masing serta potensi meningkatkan penyertaan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Haji Mansur Ramli yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Y.B Dato’ Ramlan Othman.

Manakala Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa telah menyempurnakan majlis penutup.

Pada hari itu taklimat telah disampaikan oleh Pengurus Jabatan Dakwah LZS (MAIS), Hajjah Adibah Abd Wahab disamping taklimat kaedah pelaksanaan PCB oleh pegawai LHDN.

Pada majlis yang sama juga, LZS MAIS turut memberi penghargaan kepada agensi yang menunjukkan prestasi yang baik melalui bilangan penyertaan Skim Berkat (Pembayaran zakat melalui potongan gaji) kepada Sirim Berhad, Kontinjen Polis Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Turut hadir pada majlis tersebut, Pemangku Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar.