MAJLIS HI-TEA ERATKAN LZS-KORPORAT



SHAH ALAM, 25 Mac 2010 – Lebih 100 orang peserta daripada pelbagai syarikat korporat hadir dalam Majlis Hi-Tea Korporat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali hadir sebagai tetamu kehormat seterusnya menyampaikan Bicara Niaga bertajuk ‘Bina Roh Zakat Di Kalangan Warga Korporat’.

Majlis diadakan dengan hasrat untuk meraikan dan seterusnya mengeratkan ukhuwah dengan warga korporat yang telah pun menunaikan zakat perniagaan di samping menjadi wadah penerangan kepada yang masih belum menunaikannya.

Satu sesi dialog bagi membincangkan pelbagai isu mengenai zakat perniagaan turut diadakan. Tiga panel telah dijemput iaitu Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali, Ahmad Shahir Makhtar (Pengurus Besar LZS) dan Prof. Madya Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa (Pengarah Yayasan Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia).

Sebagai makluman, pada tahun 2009, zakat perniagaan dengan 3,685 orang pembayar telah menyumbang sebanyak RM51.8 juta kutipan zakat dan merupakan penyumbang kedua kutipan terbesar selepas zakat pendapatan. Keseluruhan kutipan zakat pada tahun lalu ialah RM283.6 juta.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyerahkan bantuan kepada lima individu berjumlah RM29,456.85. Mereka ialah Jemilah Ma’afop, yang menerima bantuan peralatan perubatan bernilai RM4,950 bagi pembelian kaki palsu dan kerusi roda dan juga Moideen Abdul bagi pembelian rawatan susulan bernilai RM2,640. Manakala Mohamad Fahmi Govel Abdullah turut menerima bantuan perubatan berjumlah RM16,908.85 bagi tujuan pembedahan akibat diabetes. Sementara itu, dua orang mahasiswa asnaf fakir dan miskin, iaitu Siti Fairuz Tajul Fazwi dan Khaire Khairudin masing-masing menerima bantuan keperluan pendidikan berbentuk komputer riba yang bernilai RM2,479.00 setiap unit.