MAJLIS HI-TEA BICARA DUA MUFTI: PLATFORM LZS SEBARKAN INFORMASI ZAKAT



SHAH ALAM, 22 Oktober 2015 – Lebih 100 orang peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat swasta yang menyertai skim potongan zakat secara bulanan di Lembaga Zakat Selangor (LZS), hadir dalam Majlis Hi-Tea Bicara Dua Mufti yang diadakan di sini hari ini.

Majlis ini mengetengahkan dua tokoh berwibawa bagi membicarakan isu-isu zakat pada masa kini iaitu Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Secara tidak langsung, majlis ini menjadi platform untuk menyebarkan informasi berkaitan kutipan dan agihan zakat di Selangor, sekali gus menjawab persoalan berkaitan zakat yang sering kali berlegar-legar dalam kalangan masyarakat.

LZS_6405

Sebagai makluman sehingga bulan September 2015, LZS telah mengutip zakat sebanyak RM413 juta, di mana sebanyak RM168 juta dikutip melalui skim potongan gaji membabitkan 169,319 orang yang membuat potongan zakat secara bulanan.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyerahkan bantuan kepada lima individu berjumlah  RM158,317.50. Mereka ialah Siti Ruzana Ab. Rahim yang menerima bantuan pembinaan rumah bernilai RM59,550, Mohd Shahriman Ahmad yang menghidap penyakit Myelodyplastic Syndrome menerima bantuan perubatan berjumlah RM48,667.50 dan Nordin Manan Abdul Manan yang menerima bantuan perubatan sebanyak RM44,100 bagi menampung rawatan untuk suntikan penyakit Multiple Myeloma.

Sementara itu, dua orang mahasiswa asnaf fakir dan miskin, iaitu Muhammad Zulfikri Mohd Nadzari dan Muhammad Luqmanul Hakim Azmi masing-masing menerima bantuan dermasiswa LZS untuk wang saku berjumlah RM3,000.

Turut hadir dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.