‘MAJLIS BICARA KORPORAT’ ERATKAN HUBUNGAN LZS – KORPORAT



SHAH ALAM, 27 JUN 2011 – Lebih 100 orang peserta daripada pelbagai syarikat korporat hadir bagi membincangkan isu ‘Tanggungjawab Berzakat & Tanggungjawab Sosial Korporat’ dalam majlis Bicara Korporat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diadakan di SACC Convention Centre di sini hari ini.

Ia diadakan bertujuan mengeratkan ukhuwah di kalangan ahli-ahli perniagaan Muslim di Selangor, di samping mewujudkan komunikasi dua hala antara LZS dengan warga korporat Muslim di negeri ini. Secara tidak langsung ia membuka peluang kepada LZS menambah baik pengurusan zakat di Selangor berdasarkan kepada pandangan para peserta dan ahli panel.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali hadir sebagai ahli panel bersama dua lagi yang lain iaitu Penasihat Eksekutif Editorial, Kumpulan Media Karangkraf, Abdul Jalil Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Sebagai makluman, pada tahun 2010, LZS berjaya mengutip zakat perniagaan berjumlah RM60.5 juta dengan pembayar sebanyak 4,001 orang sekali gus menjadikan ia sebanyak penyumbang kedua kutipan zakat terbesar selepas zakat pendapatan.