LZS TURUN PADANG BANTU PESAKIT USUS KRONIK



CHERAS, 3 September 2015 – Hasil daripada maklumat orang awam, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turun padang membantu seorang pesakit usus kronik, Zarina Zainal yang mengalami kesempitan hidup.

Daripada siasatan LZS mendapati, Zarina terpaksa berhenti kerja lantaran penyakit lekatan usus atau dikenali ‘intestinal adhesion’ yang dihadapi. Beliau yang menanggung tiga orang anak masih bersekolah, tidak mempunyai pendapatan selain hanya mendapat pencen ilat, namun terpaksa digunakan untuk melangsaikan hutang bekas suami. Berikutan desakan hidup, Zarina tinggal bergelap di kuarters polis yang tidak mempunyai bekalan elektrik lebih sebulan.

asnaf husein onn

LZS amat prihatin dengan kesusahan hidup yang dihadapi beliau. Berikutan itu, keluarga telah dibanci dan melayakkannya didaftar sebagai asnaf miskin di LZS.

Untuk permulaan, keluarga Zarina disantuni dengan bantuan kecemasan sebanyak RM500. Manakala bantuan lain seperti bantuan kewangan bulanan, bantuan pendidikan, bantuan sewa rumah dan tunggakan bil utiliti turut akan disalurkan kepada keluarga ini. Semoga bantuan zakat yang disalurkan dapat meringankan beban keluarga Zarina.