LZS TINGKAT KEMPEN TUNAI ZAKAT MELALUI ‘ZAKAT N FLY’



Tarikh : 11/19/2008
Penulis : zool; Gambar: zool

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melancarkan kempen ‘Zakat N Fly’ sebagai salah satu mekanisme promosi zakat online bertujuan meningkatkan lagi pembayaran zakat pada 14 November lalu dalam satu majlis di sini.

Kempen yang mendapat kerjasama daripada FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly) selaku penaja utama ini, menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk 12 tiket pergi balik ke destinasi terpilih dari Firefly, telefon bimbit dan sebagainya.

Ia merupakan satu galakan kepada pembayar zakat, khususnya kepada mereka yang menggunakan perbankan internet sebagai medium pembayaran zakat.

Kempen ini terbuka kepada seluruh pembayar zakat yang sedia ada atau pembayar baru di LZS yang menggunakan medium perbankan internet bermula 1 November sehingga 31 Disember 2008.

Melalui kempen ini LZS akan memilih pemenang berdasarkan jumlah transaksi pembayaran zakat terbanyak dan jumlah nilai zakat tertinggi yang dibayar melalui perbankkan internet dalam tempoh kempen meliputi semua jenis zakat. Tiada borang penyertaan diperlukan.

Kempen ini adalah salah satu mekanisme mempromosikan kaedah pembayaran zakat online selain kaedah sedia ada seperti pembayaran zakat di kaunter, phone banking, kad kredit, SMS dan sebagainya.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman web LZS di www.zakatselangor.com.my.