LZS TERIMA ZAKAT TNB DAN ETIQA TAKAFUL HAMPIR RM500 RIBU



SHAH ALAM, 10 Mei 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Etiqa Takaful Berhad (Etiqa) berjumlah RM412,935.32. Zakat diterima Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa di ibu pejabat LZS di sini.

TNB menunaikan zakat perniagaannya bagi tahun berakhir 2011 berjumlah RM269,249.79, manakala Etiqa pula menunaikan zakat perniagaannya bagi tahun berakhir 2010 dan 2011 berjumlah RM143,685.53.00.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyerah bantuan zakat kepada lima orang penerima. Mereka ialah, Jaafar Ong Abdullah, yang menerima bantuan modal perniagaan bagi membeli sebuah van sebanyak RM30,000.00 dan Isnun @ Abdullah Paijan yang menerima RM22,371.00 untuk membina bengkel perabot berjumlah RM22,371.00.

Manakala tiga asnaf lain menerima bantuan perubatan, iaitu Laila Chan Abdullah bagi rawatan dialisis berjumlah RM31,680.00 serta M Mujib Hj. Ahmad berjumlah RM29,400.00 juga bagi tujuan yang sama. Sementara itu, Jesri Kadim menerima RM21,600.00 bagi merawat penyakit epilepsi kronik.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof; Pengurus Besar TNB Selangor, Datuk Abdullah @ Abdulbasir Abdul Ghani; Ketua Pegawai Komersial Etiqa Takaful, Ahmad Shahril Azuar Jimin dan Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak.