LZS TERIMA ZAKAT RM2.2 JUTA DARIPADA 50 SYARIKAT DAN INDIVIDU



SHAH ALAM, 9 Ogos 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 50 syarikat dan individu berjumlah RM2,211,584.13 yang diserahkan dalam satu majlis berbuka puasa di sini hari ini. Majlis disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Operasi Agihan Zakat LZS, Prof. Madya Dato’ Mohd Mokhtar Shafii.

Antara syarikat tersebut termasuklah Bank Islam (M) Berhad yang menunaikan zakat sebanyak RM625,309, Advance Air Traffic System (M) Sdn Bhd (RM459,886.53), Takaful Ikhlas Sdn Bhd (RM226,484.70) dan Universiti Multimedia (RM150,000). Manakala seorang usahawan, Dato’ Azman Nordin menyerahkan zakatnya sebanyak RM100,000.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Felcra Berhad sebanyak RM70,730.74, Koperasi Tentera (RM62,135) dan Bank Simpanan Nasional (RM60,727).

Dalam majlis yang sama, LZS mengagihkan bantuan zakat kepada lima individu berjumlah RM148,956.92. Mereka ialah Aznan Pin yang menerima bantuan berjumlah RM38,000 bagi pembinaan rumah tiga bilik dan Norizan Abdul Rahman yang menerima bantuan melangsaikan baki akhir pembiayaan rumah kos rendah bernilai RM29,545.52.

Sementara Hairi Lasron menerima bantuan berjumlah RM30,000 dan Amirnuddin Ahmad sebanyak RM29,980. Mereka masing-masing menerima bantuan modal perniagaan. Manakala Rosnah Harun menerima bantuan perubatan untuk anaknya sebanyak RM21,431.40.

Sementara itu, Monaliza Megawati Shahrin telah dipilih sebagai pemenang kempen ‘Like FB LZS’ yang dianjurkan bermula 1 April hingga 30 Jun lalu. Beliau membawa pulang hadiah berupa ipad baharu. Melalui kempen ini, setiap pemilik akaun facebook yang mengklik butang ‘like’ dan menjadi ‘fan’ di ‘facebook LZS’ serta memuat naik gambar kreatif berkaitan zakat berpeluang memenangi hadiah daripada LZS.

Lebih 200 tetamu terdiri daripada pembayar zakat hadir dalam majlis ini. Turut hadir, Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak.