LZS TERIMA ZAKAT PERNIGAAN RM2.3 JUTA



SHAH ALAM, 9 Julai 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 62 buah syarikat berjumlah RM2,262,597.88 yang diserahkan dalam satu majlis di sini. Penyerahan zakat perniagaan ini disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Syarikat Advance Air Traffic System (M) Sdn Bhd mendahului senarai syarikat pembayar dengan menunaikan zakat berjumlah RM353,782.80, diikuti Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang menunaikan zakat berjumlah RM298,045.35 dan Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd sebanyak RM174,946.90.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah MAA Takaful Berhad dan MIDF Property Berhad, masing-masing sebanyak RM150,000.00 dan Pasaraya Borong Sakan Sdn Bhd berjumlah RM119,899.38. Sementara, YBK Usahasama Sdn Bhd, Lebar Daun Development Sdn Bhd dan UNITAR International University masing-masing menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM100,000.00.

Dalam majlis yang sama, LZS mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM282,665.00 kepada tujuh individu. Mereka ialah Nadzatul Athirah Ismail, Muhamad Arif Mohd Ajmain dan Nurhawa Mahani Bakin yang menerima bantuan pendidikan bagi melanjutkan pengajian ke Jordan masing-masing berjumlah RM64,000.00. Manakala seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU), Siti Nor Aishah Jamhari menerima bantuan pendidikan berjumlah RM14,445.00. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di Management Science University (MSU).

Sementara itu, Nor Hafizah Hasan yang mengalami kerapuhan tulang menerima bantuan perubatan berjumlah RM22,800.00 dan Muhammad Zaher Zahali, seorang pesakit buah pinggang menerima bantuan zakat untuk rawatan dialisis berjumlah RM31,920.00. Manakala  Jaafar Abdul Razak pula menerima bantuan baik pulih rumah berjumlah RM21,500.00.

Turut hadir, Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Bakhtiar Hussin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan Zakat LZS, Dato’ Syed Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa.