LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM6.2 JUTA



SHAH ALAM, 24 April 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan dari NCB Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan Kumpulan (NAFAS) berjumlah RM6,223,445.90 yang diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu upacara di Istana Bukit Kayangan di sini.

NCB Holdings Berhad diwakili Pengarahnya merangkap Pengerusi Northport (Malaysia) Berhad, Tan Sri Dato’ (Dr.) Ir. Wan Abdul Rahman Wan Yaacob menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2012 berjumlah RM2,263,690.00.

Manakala TNB diwakili Ketua Pegawai Korporat, Dato’ Roslan Abdul Rahman menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2013 berjumlah RM2,096,552.01 dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan Kumpulan (NAFAS) mewakilkan ahli jemaah Pengarah NAFAS, Dato’ Ramli Norani menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2011 berjumlah RM1,863,203.89.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Timbalan Mufti Negeri Selangor, Dato’ Abdul Majid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.