LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM4 JUTA



SEPANG, 24 Ogos 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM4 juta daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sebanyak RM2.5 juta dan Sigor Ros Sdn Bhd sebanyak RM1.5 juta.  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan menerima zakat tersebut sempena majlis berbuka puasa baginda bersama rakyat di Masjid Al-Makmur di sini.

Zakat perniagaan bagi PNSB diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Haji Ahmad Omar manakala Sigor Ros Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangan, Abdul Mofti Ahmad Jantan.

Sementara itu, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM100 ribu kepada 200 orang fakir dan miskin, 100 orang mualaf dan 100 orang anak yatim.  Setiap mereka menerima wang tunai RM300 seorang, manakala RM100 seorang bagi anak yatim.

Selain kepada anak yatim dan mualaf, sumbangan ini merupakan sebahagian daripada RM14.2 juta bantuan yang disalurkan kepada 19,008 golongan fakir dan miskin sempena Ramadan dan hari raya.

Turut hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin  Munawi serta Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa,  Mufti  Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd. Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Marzuki Hussin.