LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM3,302,822.07



KOTA DAMANSARA, — Lembaga Zakat Selangor (LZS)  menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Proton Holdings Berhad (Proton) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) serta anak-anak syarikatnya berjumlah RM3,302,822.07 di Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Kota Damansara.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bekenan menerima zakat tersebut daripada Proton sebanyak RM2,801,106.00 yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir.  Manakala KDEB dan anak-anak syarikatnya diwakili Presiden, Suhaimi Kamaralzaman menyerahkan zakat sebanyak RM501,716.07.

Sementara itu, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan bantuan zakat kepada 200 orang fakir dan miskin, 100 orang muallaf dan 100 orang anak yatim.  Setiap mereka menerima wang tunai RM300, manakala RM100 bagi anak yatim.  Bantuan ini merupakan sebahagian daripada RM14.2 juta bantuan yang disalurkan kepada 19,008 golongan fakir dan miskin sempena Ramadan dan hari raya.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa; Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd. Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Marzuki Hussin; dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof