LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM3.3 JUTA DARIPADA 44 SYARIKAT



SHAH ALAM, 19 Julai 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 44 buah syarikat berjumlah RM3,309,566.62yang diserahkan dalam satu majlis di sini. Majlis disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan Zakat LZS, Dato’ Abdul Manap Abd. Wahab.

Antara syarikat tersebut termasuklah Bank Islam Malaysia Berhad sebanyak RM700,000, Advance Air Traffic System (M) Sdn Bhd (RM454,336.38) dan Unitar Capital Sdn. Bhd sebanyak RM200,000.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah MIDF Property Berhad sebanyak RM150,000, Universiti Multimedia (RM150,000), Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad sebanyak RM123,126.46 dan Etiqa Insurance & Takaful sebanyak RM118,713.40.

Dalam perkembangan lain, di majlis yang sama LZS mengagihkan bantuan zakat kepada lima individu berjumlah RM93,900. Mereka ialah Nor Sakirah Settu yang menerima bantuan sebanyak RM40,900 bagi pembinaan rumah, Che Mariane Samah yang turut menerima bantuan pembinaan rumah berjumlah RM38,000, dan Aris Othman yang menerima bantuan perubatan untuk pembedahan jantung sebanyak RM11,000.

Sementara Muhammad Isa Ahmad Zubir dan Nurul Huda Mat Din masing-masing menerima bantuan berupa komputer riba bernilai RM2,000.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan Zakat LZS, Dato’ Syed Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa, Pengurus Besar Pentadbiran dan Sumber Manusia, Amran Zakaria dan Roszy Non, Pengurus Besar Kutipan.