LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM24.3 JUTA



SHAH ALAM, 30 Jun 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima pembayaran zakat perniagaan daripada lima syarikat berjumlahRM24,264,405.33. Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat tersebut dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri dekat sini hari ini.

Lima syarikat itu ialah UMW Holdings Berhad yang diwakili Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Asmat Kamaludin menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM14,786,905.00, diikuti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwakili Pemangku Pengurus Besarnya, Azlan Md. Alifah menunaikan zakat perniagaan bagi PKNS dan anak-anak syarikatnya sebanyak RM5,173,054.28 dan Kumpulan Syarikat PLUS Malaysia Berhad yang menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,040,933.00 diwakili oleh Pengarah Urusan, Dato’ Noorizah Abdul Hamid.

Sementara itu, Worldwide Holdings Berhad yang diwakili Pengerusinya, Dato’ Noordin Sulaiman menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,644,931.00 serta Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menunaikan zakat berjumlah RM618,582.05 yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Ahmad Omar. Kesemua syarikat ini menunaikan pembayaran zakat perniagaan ini bagi tahun kewangan berakhir 2013.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Ahmad Zaharin Mohd Saad serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.