LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM1.4 JUTA DARIPADA 18 SYARIKAT



SHAH ALAM, 20 Disember 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima pembayaran zakat daripada 18 buah syarikat berjumlah RM1,476,282.08 dalam Majlis Bayaran Zakat Perniagaan dan Agihan Zakat di sini hari ini. Penyerahan zakat diterima Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Antara syarikat yang menunaikan zakat ialah Sirim QAS International Sdn. Bhd. Sebanyak RM604,392.52, Affin Islamic Bank Berhad (RM326,000.00), Meps Currency Management Sdn. Bhd. (RM200,000.00) dan Felcra Berhad sebanyak RM85,669.88. Kumpulan Zaibar menerusi lima anak syarikat iaitu Zaibar Automobile Sdn. Bhd., Zaibar Motor Sports Sdn. Bhd., Zaibar Properties Sdn. Bhd. Serta Starsky Security And Private Investigator Sdn. Bhd menyerahkan zakat sebanyak RM100,000.00.

Turut menyerahkan zakat ialah Bank Persatuan (RM50,000.00), Public Islamic Bank Berhad (RM40,000.00), Koperasi Membeli dan Membuka Tanah Seri Cheeding Berhad (RM25,000.00), Allied Calibration Engineering Services Sdn. Bhd. (RM10,000.00), serta Abadan Enterprise juga RM10,000.00. Selain itu, Northport Container Terminal Sdn. Bhd. (RM9,719.68), Sainuka Habib Sdn. Bhd. (RM5,000.00), Bunga Mekar Enterprise (RM5,000.00), Modular Synergy Sdn. Bhd. (RM500.00).

Sementara itu, seramai lima individu menerima bantuan zakat masing-masing berjumlah RM81,697.00. Mereka ialah Hisahamuddin Md Nor dan Nurulfidah Karim yang menerima bantuan bina rumah bernilai RM38,000.00 setiap satu. Tiga orang pelajar (anak asnaf), Mohd Yusaof Jamil, Shafeq Mat Yusof serta Siti Nur Aishah Abd Razak masing-masing menerima komputer riba bernilai RM1,899.00.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.