LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM1.3 JUTA DAN AGIHKAN RM2.4 JUTA



SHAH ALAM 16 Disember 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 29 buah syarikat berjumlah RM1,270,361.25. Majlis bayaran zakat ini disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) , Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) dekat sini.

SIRIM QAS mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, telah menyerahkan zakatnya berjumlah RM483.563.32, diikuti Koperasi Serbaguna Iman sebanyak RM100,000.00 dan KSS Otomobil (M) Sdn Bhd yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM90,000.00.

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad berjumlah RM86,974.60, Koperasi Kakitangan Bank Pertanian Malaysia (RM66,887.00) dan AmIslamic Bank Berhad sebanyak RM51,000.00.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat berjumlah RM2,432,097.02. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.2 juta diagihkan kepada 10 buah masjid terpilih yang menerima sumbangan van jenazah dengan nilai RM120,000 setiap satu.

Bantuan tersebut merupakan salah satu bantuan zakat di bawah peruntukan asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan lagi pengurusan jenazah. Ia diperuntukkan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutamanya di kawasan luar bandar, di samping mempunyai kariah yang ramai.

Manakala sebanyak RM1,118,157.02 diagihkan melalui bantuan pendidikan kepada 291 orang anak asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di Universiti Selangor (UNISEL). Bantuan ini merupakan pembiayaan yuran semester para pelajar tersebut.

Sementara itu, tiga individu masing-masing menerima bantuan perubatan dan pembinaan rumah dari LZS. Mereka ialah Esmi Jemiran mendapat bantuan perubatan berjumlah RM43,740 bagi membiayai rawatan dialisis untuk tempoh setahun dan Mohd Fazil Abu Bakar menerima bantuan perubatan untuk rawatan pembedahan penyakit tulang belakang anaknya berjumlah RM20,000. Manakala Rohaizah Wahab pula menerima bantuan pembinaan rumah tiga bilik yang bernilai RM50,200.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.