LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN PUNCAK NIAGA RM4.7 JUTA



HULU SELANGOR, 25 Ogos 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM4,684,318.91 juta daripada Puncak Niaga Holding Berhad. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan menerima zakat tersebut sempena majlis berbuka puasa baginda bersama rakyat di Masjid Al-Makmur di sini.

Zakat perniagaan bagi Puncak Niaga Holding diserahkan oleh Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif.

Sementara itu, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM100 ribu kepada 200 orang fakir dan miskin, 100 orang mualaf dan 100 orang anak yatim. Setiap mereka menerima wang tunai RM300 seorang, manakala RM100 seorang bagi anak yatim.

Turut hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi serta Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd. Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Marzuki Hussin.