LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN PKNS DAN ANAK SYARIKAT RM8.36 JUTA



SHAH ALAM, 3 Ogos 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan anak-anak syarikatnya berjumlah RM8,363,336.86. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan menerima zakat tersebut sempena majlis berbuka puasa baginda bersama rakyat di sini.

PKNS menunaikan zakat sebanyak RM6,709,276.45; manakala anak-anak syarikatnya, iaitu Worldwide Holdings Berhad sebanyak RM1,129,234.00; Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (RM165,000.00); Selaman Sdn Bhd (RM118,571.41); PKNS Holdings Sdn Bhd (RM80,000.00); PKNS Infra Berhad (RM70,000.00); PKNS Engineering & Construction Bhd (RM70,000.00) dan De Palma Management Services Sdn Bhd (Hotel Depalma) sebanyak RM21,255.00.

Sementara itu, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan bantuan zakat kepada 200 orang fakir dan miskin, 100 orang muallaf dan 112 orang anak yatim. Setiap mereka menerima wang tunai RM300, manakala RM100 bagi anak yatim. Bantuan ini merupakan sebahagian daripada RM14.2 juta bantuan yang disalurkan kepada 19,008 golongan fakir dan miskin sempena Ramadan dan hari raya.

Turut hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi serta Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa. Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd. Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Marzuki Hussin serta Pengurus Besar PKNS, Othman Omar turut sama hadir.