LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM800 RIBU



SHAH ALAM, 24 April 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 13 buah syarikat berjumlah RM810,701.71. Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, bertempat di Hotel De Palma di sini hari ini.

Antara syarikat yang menunaikan zakat berkenaan ialah, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd yang membayar sebanyak RM300,000, Prolintas Expressway Sdn Bhd (RM200,000), Pasaraya Borong Sakan Sdn Bhd (RM117,000) dan Koperasi Jabatan Penjara Malaysia Berhad
sebanyak RM50,000.

Manakala Koperasi Kakitangan NEGM Berhad menunaikan zakat perniagaannya sebanyak RM34,617.22, Koperasi Ladang Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia Berhad (RM26,524) dan Permodalan Peladang Berhad sebanyak RM23,732.51. Turut menunaikan zakat, ialah Koperasi Guru-Guru Agama Islam Selangor Berhad yang membayar sebanyak RM16,368.51.

Tahun lalu, LZS mengutip zakat perniagaan berjumlah RM84.9 juta. Ia merupakan kutipan zakat kedua tertinggi selepas zakat pendapatan di Selangor. Pada tahun ini, LZS mensasarkan peningkatan bagi kutipan zakat perniagaan sebanyak enam peratus kepada RM90 juta.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan bantuan pembinaan rumah kepada empat individu. Mereka ialah, Rohana Ariffin yang menerima bantuan bernilai RM40,650, Radziah Razak sebanyak RM39,000, Sahar Jaafar yang menerima bantuan bernilai RM38,000 dan Hasim Ayub sebanyak RM33,000. Manakala Ahmad Shaifuddin Mohamed Radzi menerima bantuan perubatan untuk isteri yang menghidap penyakit kulit kronik sebanyak RM34,200.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.