LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN BANK RAKYAT LEBIH RM4 JUTA



SHAH ALAM, 17 JUN 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) berjumlah RM4,037,406.00 di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Penyerahan zakat telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Datuk Mohd Aini Taib kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Pembayaran zakat ini adalah bagi tahun kewangan berakhir 2010 bank berkenaan.

Sementara itu, LZS pada tahun ini mensasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM65.3 juta, iaitu kenaikan sebanyak lapan peratus berbanding tahun 2010 yang mencatatkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM60.5 juta. Zakat perniagaan adalah penyumbang kedua terbesar kutipan zakat di Selangor selepas zakat pendapatan.

Turut hadir di majlis ini, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail, Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Marzuki Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.