LZS TERIMA ANUGERAH EMAS DI KONVENSYEN TEAM EXCELLENCE PERINGKAT WILAYAH TENGAH 2018



SHAH ALAM, 27 Julai 2018 – Kumpulan Mumtaz yang mewakili Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima anugerah emas bersempena dengan Konvensyen Wilayah Team Excellence (RTEx) Peringkat Wilayah Tengah 2018 yang diadakan di Hotel Royale Chulan Damansara baru-baru ini.

Ini merupakan penyertaan kali pertama LZS dalam pertandingan anjuran Malaysia Productivity Corporation (MPC) bagi Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK). Dalam pertandingan ini, LZS telah mengetengahkan projek penambahbaikan bertajuk ‘Pelaksanaan Wakalah Agihan Zakat Tidak Optimum’. Ia merupakan projek inovasi dengan memperkenalkan skim pemberian semula zakat kepada pengeluar zakat yang membayar melebih RM50,000 untuk diagihkan kepada asnaf secara terus menerusi 3/8 jumlah bayaran zakat.

IMG-20180727-WA0002

Melalui projek yang dihasilkan ini, mampu memberi impak positif berdasarkan peratus peningkatan kepada proses skim wakalan agihan mengikut prosedur. Selain itu LZS juga berjaya meningkatkan peratusan bilangan pemohon kepada 20 peratus dan jumlah pengagihan semula sebanyak 40 peratus, sekali gus meningkatkan keyakinan pengeluar zakat kepada LZS.

Kumpulan KIK LZS diketuai oleh Ahmad Zaidi Lynan  Zainudin dan dianggotai oleh Khairul Azzumie Anour, Firdaus Alias, Mohd Rosli Abdullah, Muhamad Amir Muhamad Akhbar, Mohamad Nazreen Tahir, Siti Patimah Rosli dan dibimbing oleh fasilitator Muhamad Rizal Jalil.

Untuk makluman, sebanyak  113 organisasi telah terlibat bagi mempersembahkan projek yang akan dipertandingkan. Pertandingan ini dianjurkan bertujuan mendorong sesebuah organisasi untuk menggunakan sumber dalaman secara optimum bagi mengekalkan daya saing dikalangan mereka. Selain itu, Kumpulan Excellence ini diwujudkan agar memberi impak yang positif kepada organisasi melalui projek penambahbaikan yang dihasilkan.

Semoga melalui penglibatan dalam konvensyen ini, LZS dapat meningkatkan mutu perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada pelanggan khususnya penerima dan pengeluar zakat.