LZS SUMBANG RM1.99 JUTA KEPADA 143 SEKOLAH DI SELANGOR



SHAH ALAM, 30 Mac 2011 – Sebanyak 143 buah sekolah di Selangor melibatkan seramai 13,876 pelajar menerima sumbangan sebanyak RM1,990,000.00 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam Program Sekolah Angkat LZS di sini hari ini.

Program yang bermatlamat untuk membantu anak-anak asnaf fakir dan miskin yang belajar di sekolah-sekolah berkenaan ini, mula dilancarkan pada tahun 2009. Ia melibatkan sekolah menengah, rendah dan sekolah agama yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran.

Ia memberi fokus kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah kelas tambahan, kursus motivasi ibu bapa dan pelajar, kursus teknik menjawab peperiksaan, kursus teknologi maklumat, kem ibadah dan kursus penerapan nilai-nilai Islam.

Pada tahun 2009, hanya 43 buah sekolah sahaja yang terlibat dengan dana berjumlah RM430 ribu, manakala pada tahun 2010 meningkat kepada 156 buah sekolah dengan peruntukkan sebanyak RM2.08 juta.

Pada tahun ini, daerah Sabak Bernam mendapat peruntukan tertinggi, iaitu sebanyak RM360,000.00; diikuti Klang (RM255 ribu) dan Kuala Selangor sebanyak RM245 ribu.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Halim  Tamuri, Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).  Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Sulaiman Wak dan Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS, Sahadan Ishak.