LZS SERTAI PERBARISAN MAULIDUR RASUL 1429H



Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah menyertai Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor yang telah berlangsung meriah di sini pada 20 April yang telah disertai oleh kira-kira 1,000 peserta daripada agensi kerajaan, swasta dan sekolah.

Sambutan dimulakan dengan acara perarakan yang diketuai oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim beserta ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan sambil berselawat ke atas nabi. Perarakan bermula dari Stadium Mini Shah Alam dan berakhir di Stadium Melawati Seksyen 13, Shah Alam.

Sementara itu majlis sambutan tersebut juga telah diserikan dengan ceramah khas Maulidur Rasul yang telah disampaikan oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan juga persembahan nasyid dari beberapa kumpulan nasyid terkenal tanah air.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohamad Isa. Kontigen LZS diwakili oleh kakitangan perempuan seramai 45 orang yang diketuai oleh Pengurus Jabatan Dakwah dan Kutipan LZS dan mendapat tempat kedua dalam Perbarisan Terbaik kategori Badan Berkanun/Swasta.