LZS SERTAI PERARAKAN MAULIDUR RASUL



SHAH ALAM, 20 Januari 2014 – Sebanyak 128 kontinjen terdiri daripada para peserta di jabatan kerajaan, badan berkanun, institusi pengajian tinggi, sekolah menengah, masjid dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyertai perarakan bersempena dengan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1435H bertempat di Stadium Malawati baru-baru ini.

Majlis yang bertemakan ‘Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perarakan sejauh 1.5 km itu bermula dari Stadium Mini menuju Stadium Malawati sambil membawa beberapa sepanduk dan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Turut sama menyertai perarakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Mufti Negeri Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor dan Ketua-ketua Jabatan Peringkat Negeri dan Daerah.