LZS SERTAI MISI BANTUAN PASCA BANJIR



SHAH ALAM, 12 Jan 2015 – Seramai 45 orang sukarelawan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan anak syarikat serta agensi-agensi agama Islam di Selangor menyertai misi Bantuan Pasca Banjir 2015 ke Kelantan bertujuan untuk menyampaikan bantuan secara terus kepada mangsa banjir di Kampung Pahi dan kawasan sekitarnya.

Antara bantuan yang diagihkan termasuklah barang keperluan asas seperti pakaian, selimut, tikar, sabun serta makanan seperti beras, minyak, gula, biskut dan sebagainya. Turut disumbangkan dalam misi tersebut ialah 25,000 pasang pakaian sekolah yang diagihkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) kepada asnaf fakir dan miskin yang terlibat dengan banjir ini.

Dalam masa yang sama juga, aktiviti pembersihan di Masjid Kampung Pahi turut diadakan dan sumbangan peralatan ibadah disalurkan bagi menggantikan peralatan yang telah rosak. Kampung Pahi merupakan antara yang terjejas teruk akibat banjir melanda Kelantan pada Disember lepas. Semoga bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir.