LZS SERAH BANTUAN ZAKAT RM1.2 JUTA UNTUK TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT HOSPITAL



AMPANG, 10 Oktober 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM1.2 juta kepada Tabung KebajikanPesakit Hospital di 13 buah hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Penyampaian bantuan zakat disempurnakan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.

Bantuan ini bertujuan meringankan bebanan pesakit yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital berkenaan.

Hospital yang terlibat ialah, Hospital Kuala Lumpur yang menerima bantuan zakat berjumlah RM200,000, manakala Pusat Perubatan Universiti Malaya pula menerima bantuan zakat berjumlah RM150,000.

Sementara itu, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institut Jantung Negara masing-masing menerima bantuan zakat berjumlah RM100,000. Manakala bagi Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya pula menerima bantuan zakat sebanyak RM50,000. Hospital Rehabilitasi, Cheras turut menerima bantuan zakat berjumlah RM30,000 dan Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara, Sungai Buloh yang menerima bantuan zakat sebanyak RM20,000.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan bantuan perubatan kepada lima individu. Mereka ialah Mohd Zahimurhakim Mohd Zahib yang menerima bantuan zakat berjumlah RM50,000 bagi menampung kos rawatan anaknya yang menghidap kanser, Zulkifli Isahak turut menerima bantuan zakat berjumlah RM40,000 untuk rawatan kimoterapi bagi penyakit kanser yang dihidapinya.

Manakala tiga individu lain, Latifah Sarlan menerima bantuan perubatan untuk anaknya yang menghidap kanser berjumlah RM34,800, Muhammad Khalid menerima bantuan berjumlah RM32,800 untuk rawatan penyakti kanser anaknya dan Siti Azar Ibrahim berjumlah RM30,400 untuk rawatan penyakit radang sendi.

Salah seorang penerima bantuan perubatan yang ditemui ketika majlis, Muhammad Khalid mengucapkan terima kasih kepada LZS dan pembayar zakat. “Saya tidak menyangka pada saat ditimpa musibah, ada pihak yang sudi membantu. Insya-Allah, bantuan yang diberikan ini akan digunakan untuk mendapatkan implan bagi anak saya yang menghidap kanser tulang.”

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Azman Abu Bakar dan Pengarah Hospital Ampang, Datin Dr. Aishah Ahmad Makinuddin.