LZS SERAH 10 VAN JENAZAH KEPADA MASJID BERJUMLAH RM1.2 JUTA



 

PUCHONG, 9 Mac 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperuntukkan sumbangan zakat sebanyak RM1,200,000.00 bagi membekalkan 10 buah van jenazah kepada masjid terpilih di Selangor. Majlis penyerahan kunci van kepada 10 wakil masjid disempurnakan oleh Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid di sini hari ini.

Sumbangan van jenazah merupakan salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah. Ia diperuntukkan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutamanya di kawasan luar bandar, di samping mempunyai kariah yang ramai.    

Antara masjid yang terpilih ialah Masjid Kariah Kampung Kuala Perdik, Hulu Langat; Masjid Kariah Lubuk Kelubi, Hulu Langat; Masjid Kariah Sungai Kembong Hilir, Kajang; Masjid Kariah Kampung Jawa, Hulu Langat dan Masjid Kampung Seri Aman, Puchong.

Manakala masjid lain termasuklah, Masjid Al-Ubudiah, Hulu Selangor; Masjid Nurul Husna Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor; Masjid Ar-Ridzuan, Bestari Jaya; Masjid At-Taqwa, Kuala Selangor dan Masjid An’Nur Kampung Kanchong Tengah, Kuala Langat.

Untuk makluman, sumbangan van jenazah ini adalah sebahagian kecil daripada sumbangan zakat di bawah Program Pembangunan Institusi Agama. Sejak 2013 sehingga kini, LZS telah menyumbangkan 50 buah van dengan jumlah keseluruhan RM6.0 juta.