LZS SEDIA RM10.9 JUTA BIAYAI PERSIAPAN PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK ASNAF FAKIR & MISKIN



 

HULU SELANGOR, 17 November 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM10,916,555 kepada 94,391 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2017.

Bantuan persiapan persekolahan ini diagihkan setiap tahun bagi meringankan bebanan asnaf fakir dan miskin terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka. Ia diberikan bagi menampung kos pembelian kelengkapan dan yuran persekolahan. Bantuan ini melibatkan anak-anak asnaf di peringkat pra persekolahan sehinggalah ke peringkat sekolah menengah.

PIX S & J - AGIHAN ZAKAT

Melalui peruntukan agihan tersebut, setiap anak asnaf akan menerima bantuan yuran sebanyak RM75 seorang bagi semua peringkat persekolahan.

Manakala bagi kelengkapan persekolahan, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan menerima bantuan sebanyak RM170 dan pelajar sekolah rendah agama menerima sebanyak RM150 seorang. Sementara bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan pula menerima sebanyak RM200. Bagi pelajar pra persekolahan, masing-masing akan menerima sebanyak RM75 seorang.

Kelengkapan persekolahan ini boleh didapati di Pasar Raya Sakan, Mydin dan Jakel yang terpilih di sekitar Selangor dengan menggunakan MyKad ketua keluarga sebagai rujukan. Selain itu, LZS turut melantik Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) untuk menyediakan 30,000 pasang pakaian sekolah bagi menampung keperluan pelajar asnaf di tiga buah derah iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

 

Majlis penyerahan bantuan di bawah Program Pembangunan Pendidikan ini bermula hari ini dan dijangka akan berakhir pada 14 Disember melibatkan 16 program di seluruh Selangor.