LZS SEDIA PERUNTUKAN RM630 RIBU BANTU PESAKIT KRONIK: PESAKIT BOLEH MOHON DI 10 HOSPITAL TERPILIH



SERDANG, 13 Disember 2010 — Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM630 ribu kepada 10 buah hospital di sekitar Lembah Klang sebagai peruntukkan bagi membantu pesakit kronik mendapatkan rawatan.

Antara hospital-hospital yang menerima peruntukkan ini ialah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Universiti Malaya, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang. Selain itu, turut menerima Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Kajang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Institut Jantung Negara. Peruntukkan yang diterima adalah sebanyak RM63,000 bagi setiap hospital.

Sebelum ini hospital-hospital terbabit telahpun menerima peruntukkan yang sama berjumlah RM30,000. Ia merupakan dana yang disediakan oleh LZS melalui Tabung Pesakit Kronik di bawah program pembangunan sosial.

Dengan adanya bantuan zakat ini, pesakit yang kurang berkemampuan boleh memohon terus kepada Tabung Kebajikan Perubatan Hospital terbabit melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital. Antara mereka yang layak memohon ini ialah pesakit yang mengalami penyakit kronik yang disahkan oleh pakar perubatan termasuklah kes-kes kecemasan yang memerlukan bantuan segera.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Ekseklutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof di Hospital Serdang di sini. Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr. Rosnah Hadis.