LZS SANTUNI KELUARGA AZIZAH SEJAK 2009



SHAH ALAM, 4 Januari 2016 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di Astro Awani pada 3 Januari 2016 yang memaparkan keperitan hidup ibu tunggal 14 orang anak dalam membuat persiapan persekolahan.

Menurut laporan berita berkenaan Azizah Ashaari, 52 tahun terpaksa meneruskan kelangsungan hidup untuk menyekolahkan anak-anaknya dengan hanya menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM350 dari LZS.

Untuk makluman, keluarga Azizah merupakan asnaf miskin daerah Klang telah disantuni dengan bantuan zakat sejak tahun 2009 lagi. Beliau yang mempunyai 14 orang anak, di mana tujuh (7) orang masih lagi di bawah tanggungannya. Daripada jumlah tanggungan tersebut, hanya lima (5) orang sahaja anaknya yang bersekolah.

IBU TUNGGAL 14 ANAK

Selain menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM350 seperti yang disebutkan dalam laporan berita berkenaan, beliau turut menerima bantuan bulanan makanan asas dan bantuan Hari Raya sebanyak RM850. Di samping itu, LZS turut menyalurkan bantuan pendidikan bagi yuran dan kelengkapan persekolahan untuk anak-anaknya. Pada tahun 2016, bantuan pendidikan sebanyak RM1,600 telah disalurkan kepada lima orang anaknya.

Sebagai tambahan juga, LZS akan menyalurkan bantuan tambang van untuk memberi kemudahan kepada anak-anaknya berulang-alik ke sekolah. Manakala bantuan kewangan bulanan keluarga ini dinaikkan kepada RM500 berdasarkan kepada jumlah semasa tanggungan Azizah.

Semoga bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban keluarga ini. Selain itu, LZS juga berharap pihak berkaitan dapat merujuk kepada LZS terlebih dahulu untuk kesahihan sesuatu maklumat.

 

Sekian, terima kasih.

NORAJUN AINUN MOHD HASHIM

Pengurus Besar Komunikasi Korporat