LZS SAMPAIKAN SUMBANGAN KLINIK BERGERAK



SHAH ALAM, 27 Jun 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyampaikan sumbangan berupa Klinik Bergerak kepada KPJ Healthcare Berhad yang mengendali Klinik Waqaf An-Nur, bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan luar bandar terutamanya asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Majlis Penyerahan Klinik Bergerak ini disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Siti Maslamah Osman kepada Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Amiruddin Abdul Satar di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini.
Melalui Klinik Bergerak yang berkapasiti lima tan ini, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan rawatan bagi kes-kes ringan, pemeriksaan kesihatan luar bagi wanita hamil dan pemeriksaan darah tinggi serta kencing manis.

Buat permulaan, Klinik Bergerak ini akan memulakan operasinya di kawasan Hulu Langat melibatkan masjid-masjid terpilih sebagai lokasi penempatan Klinik Bergerak mengikut penggiliran. Orang ramai boleh mengunjungi masjid terlibat bagi mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan dengan kadar bayaran sebanyak RM5  setiap kali rawatan.

KPJ Healthcare Berhad melalui Klinik Waqaf An-Nur juga mempunyai sebuah Klinik Bergerak yang beroperasi di Pasir Gudang, Johor. Terkini, KPJ mempunyai rangkaian 18 klinik dan sebuah hospital Waqaf An-Nur.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan bantuan perubatan kepada lima individu. Mereka ialah, Mohd Zain Yunus yang mendapat bantuan berjumlah RM44,000 bagi membeli peralatan implan jantung, Ridzuan Idris yang menerima bantuan perubatan bagi rawatan kimoterapi berjumlah RM34,744 dan Khairul Nasri Mohd Noor yang mendapat bantuan perubatan untuk pembedahan tulang belakang berjumlah RM28,000.

Manakala Rosmin Malain pula mendapat bantuan pembelian ubat bagi rawatan penyakit paru-paru anaknya berjumlah RM25,500 serta Mohd Said Haron yang menerima bantuan zakat dari LZS berjumlah RM15,000 untuk peralatan pendengaran anaknya.

Turut hadir dalam majlis tersebut, dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.